Sabtu, 8 Disember 2007

Rahsia Gaharu

Berita Harian, 18 November
Oleh Zulkofli Jamaludin

Pokok karas menghasilkan bahan untuk industri minyak wangi dijual antara RM15,000 hingga RM20,000 sekilogram

ANAK pokok karas atau gaharu setinggi 20 centimeter (cm) yang dijual pada harga RM1.60 sepokok dua tahun lalu kini mencecah RM9, gara-gara minat orang ramai menanam pokok yang dikatakan boleh memberi pulangan RM18,000 sepokok.

Karas atau nama saintifiknya, Aqularia malaccensis yang boleh mencapai ketinggian lebih 36 meter, mengeluarkan damar atau rasin yang diperlukan dalam penghasilan minyak wangi, manakala kayu dan kulitnya diproses menghasilkan gaharu. Damar yang dihasilkan oleh pokok karas kini digredkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dengan gred Super A, A, B, C serta D, dan harga Super A dijual antara RM15,000 dan RM20,000 sekilogram di pasaran antarabangsa.

Bukan setakat damar, batang dan kulit boleh menghasilkan wang, malah daun karas dikatakan boleh direbus dan diminum bagi mencegah penyakit kanser.

Menyedari pokok karas mempunyai nilai komersial, Jabatan Perhutanan Terengganu mempelopori tanaman secara ladang di kawasan 47 hektar di Hutan Simpan Merchang, Marang bagi menggantikan pokok Akasia. Penolong Pengarah Silvikultur dan Perlindungan Hutan Terengganu, Mohd Radhi Chu Abdullah, berkata karas mempunyai potensi tinggi sekiranya diusahakan secara komersial.

"Sejak dua tahun lalu Pejabat Hutan mengumpul banyak maklumat mengenai kaedah penanaman, kesesuaian tanah, kawalan penyakit, taburan hutan dan cara mengatasi penyakit yang dilakukan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Pejabat Pertanian.

"Maklumat ini boleh dikongsi jika orang ramai berminat mempelajari cara mengusahakan tanaman ini," katanya ketika menyampaikan taklimat kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Seri Azahar Muda, di sini baru-baru ini.

Mohd Radhi berkata, proses mengumpul damar karas boleh dilakukan secara semula jadi dengan mematikan pokok mati melalui kaedah melukakannya atau suntikan inokulen.

Katanya, teknik inokulen boleh dilakukan apabila pokok mencapai usia lima tahun atau diameter pokok berukuran 20 cm.

"Kedalaman optimal perlu sesuai dengan diameter batang dan biasanya sekitar lima cm.

"Setiap batang pokok akan ditebuk lubang dan dimasukkan spora yang akan menghasilkan damar dan lubang itu akan ditutup menggunakan lilin dan hanya dikeluarkan selepas dua tahun," katanya.

Mohd Radhi berkata, minyak damar juga boleh diperolehi secara penyulingan dengan merebus kulit dan kayu damar yang diracit.

Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Petroleum, Pertanian dan Perikanan Terengganu, Datuk Mamat Ghazalee Abdul Rahman, 59, berkata pokok karas mudah dijaga dan tidak memerlukan kos penjagaan yang tinggi.

Beliau berkata, 1,000 pokok yang ditanamnya setahun lalu kini mencapai ketinggian 150 cm dan tidak diserang sebarang penyakit.

"Mereka yang ingin menanam pokok ini di Pantai Timur perlu memilih masa yang sesuai iaitu sekitar bulan Julai atau Ogos iaitu sebelum musim tengkujuh bagi membolehkan pokok ini tidak menghadapi masalah ketika musim kering.

"Selepas enam bulan yang ditanam, pokok perlu dipangkas dan dijaga secara agronomik bagi membolehkan pokok mencapai ketinggian maksimum," katanya yang menanam pokok karas di dusun seluas lapan hektar.

Mamat Ghazalee berkata, pokok karas yang ditanam dalam dusun yang sudah matang mudah dijaga dan membesar dengan cepat kerana tidak terdedah terus kepada terik matahari.

FAKTA
  • Berasal dari perkataan Sansekerit iaitu `agaru' yang bererti kayu berat (tenggelam) - menghasilkan produk damar atau resin dengan aroma harum apabila dibakar. Di negara Asia terdapat lebih 15 spesies gaharu tetapi yang dikenali di pasaran ialah agar wood, aloes wood dan eagle wood.
  • Analisis kimia mendapati gaharu mengandungi agarospiral, jinkohol-eremol yang menghasilkan aroma gaharu untuk kegunaan minyak wangi. Komponen methoxyphenylethyl chromone pula menghasilkan bauan yang harum apabila gaharu dibakar.

Kegunaan
  • Gaharu digunakan untuk keagamaan Cina, Unanai, Ayuravedik dan Tibet. Di Timur Tengah gaharu dibakar untuk mengharumkan rumah.
  • Daun, akar dan kulit gaharu digunakan sebagai ubat anti malaria sementara air sulingan penghasilan gaharu dimasukkan perubatan selepas bersalin, antibiotik, antikanser, penyakit kewanitaan, demam, sakit badan dan sakit perut.

FAKTA NOMBOR
  • 40 centimeter - Ukur lilit
  • 20 tahun - Usia mengeluarkan hasil
  • 36 meter - Ketinggian boleh dicapai


Kepentingan menjaga khazanah alam

Utusan Melayu 21/11/2007
Oleh FARHAH ABDULLAH

LAPORAN mengenai hutan simpan negara telah dicerobohi sejak sekian lama menunjukkan betapa ceteknya kepekaan kita mengenai sumber alam yang terpenting bagi kesejahteraan manusia sejagat iaitu kepelbagaian tumbuhan di hutan simpan.

Jika aktiviti ini tidak dibendung dan dikawal, kegiatan ‘melombong’ kepelbagaian biologi seperti menebang pokok yang usianya beratus-ratus tahun akan mendatangkan kesan yang amat buruk kepada alam sekitar dan ekosistem akibat kesan pembangunan yang kurang terancang.

Misalnya, di peringkat kawasan, pelbagai usaha dilakukan untuk menunjukkan kekayaan dan kepelbagaian tumbuhan di Hutan Simpan Bangi, Hutan Endau-Rompin, Pulau Pemanggil dan Pulau Langkawi.

Oleh kerana kepelbagaian biologi adalah hubung kait dengan keperluan manusia, maka pemuliharaannya seharusnya dianggap sebagai satu unsur keselamatan negara. Ekonomi dan kesihatan akan terjamin jika negara memberi keutamaan terhadap kepentingan khazanah alam dan floranya.

Flora bermaksud suatu inventori spesies tumbuhan yang ada pada habitat atau kawasan geografi tertentu seperti Flora Malesiana membawa maksud satu inventori spesies yang wujud di rantau kepulauan Malesia pada suatu ketika dahulu.

Kepulauan Langkawi mempunyai 104 pulau mengandungi 1,150 spesies. Ia terdiri daripada 144 famili; 4 famili gimnosperma, 118 famili dikotiledon dan 22 famili monokotiledon. Flora Pulau Langkawi dianggap unik kerana kandungan spesies endemik yang tinggi jika dibandingkan dengan yang lain.

Malangnya, berapa ramai yang arif tentang komponen alam sekitar yang liar atau diternak/ditanam, manusia telah memperoleh makanan, ubatan dan hasil industri seperti kayu gaharu yang boleh menghasilkan minyak wangi perlu dipelihara agar kebaikannya dapat dikongsi secara berkekalan?

Kita seharusnya bersyukur kerana dikurniakan Hutan Hujan Tropika sebagai pusat kepelbagaian jika dibandingkan dengan Singapura. Persoalannya, adakah kekayaan kepelbagaian biologi dapat diterjemahkan kepada nilai ekonomi atau keselesaan hidup rakyat?

Hakikatnya, kepelbagaian biologi memainkan peranan utama sebagai sumber keperluan kebendaan kemanusiaan. Selagi manusia memerlukan makanan dan ubat, selagi itu tumbuhan dan haiwan akan menjadi sumber penting dalam menjana keperluan kehidupan.

Di China, 195 daripada spesies tumbuhan mempunyai nilai ubatan, sementara suku kaum asli di Amerika Utara masih mengguna lebih kurang 13 peratus daripada spesies tumbuhan sebagai ubat.

Malaysia mempunyai banyak spesies yang telah didakwa sebagai mempunyai ciri-ciri terapeutik. Satu perkara yang boleh diketengahkan iaitu kajian etnobotani iaitu suatu bidang sains tradisi yang meliputi penggunaan tumbuhan oleh semua suku kaum dalam konteks Malaysia.

Walaupun mereka tidak berpelajaran, kita perlu akur bahawa mereka telah berjaya menguasai pengelasan tumbuhan sejak beribu-ribu tahun dahulu.

Dalam bioteknologi paten, mereka dianggap sebagai “Penderma Biologi” dan tidak mempunyai hak untuk memperoleh paten jika spesies tumbuhan berkenaan berjaya dikomersialkan dan dipatenkan oleh pihak luar.

Justeru, tidak dapat dinafikan kebergantungan manusia kepada tumbuhan sebagai bahan ubat malah boleh dikomersialkan seperti perubatan tradisi China dan India adalah di antara sistem tradisi yang unik. Malah, perkembangan perubatan moden berpunca daripada kegemilangan zaman herba di Asia Barat dan Eropah.

Justeru, keperluan ke arah usaha pemuliharaan seharusnya diperkukuhkan seperti langkah-langkah pemuliharaan in situ dan penguatkuasaan yang ketat oleh Pejabat Tanah dan Galian, Majlis Daerah yang berkaitan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta masyarakat sekitarnya demi mengelakkan sebarang malapetaka seperti banjir lumpur dan habitat terancam.

Kepelbagaian biologi seharusnya disifatkan sebagai harta pusaka negara yang tiada nilai tandingannya. Jadi ia perlu bebas daripada sebarang kegiatan pengeksploitasian, khususnya yang melibatkan pihak luar yang berminat dengan spesies tumbuhan kita.

Kita wajar mengambil kira aspek pampasan yang patut diagihkan kepada negara. Di sini, pentingnya mengekalkan satu perundangan bagi mengawal pengeluaran bahan-bahan genetik dari negara membangun ke negara maju.


Kegiatan tebang pokok gaharu dibongkar

Utusan Melayu 13/04/2006
Oleh ANGELINA SINYANG

LUMUT 12 April - Polis Marin Perak berjaya membongkar kegiatan pembalakan haram pokok gaharu di daerah Larut Matang dengan tertangkapnya dua lelaki di Kilometer 4, Jalan Sayong, Kuala Kangsar dekat sini, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 35 dan 45 tahun itu ditahan pukul 2.30 petang ketika sedang memandu dua buah lori yang membawa empat tan kayu gaharu untuk dijual kepada sebuah kilang di Ipoh.

Di kilang tersebut, kayu berkenaan dipercayai akan diproses untuk dijadikan colok dan ubat nyamuk. Kayu gaharu itu dijual dengan harga RM1.80 semeter padu.

Pegawai Pemerintah Marin Perak, Deputi Supritendan Salehuddin Mat Zaman berkata, pihaknya mula mengintip dan mengekori dua buah lori yang membawa muatan kayu semalam hasil maklumat orang ramai.

Polis Marin dari Pengkalan Kampung Acheh, Lumut mendapat panggilan daripada orang awam memberitahu terdapat dua lori berkanvas warna oren serta hijau dalam keadaan mencurigakan sedang berhenti di depan Masjid Simpang Taiping.

Lori berkenaan disyaki membawa barang seludup kerana bertutup rapat dengan tayar penuh tanah merah,'' katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Polis Marin Kampung Acheh di sini hari ini.

Bertindak atas maklumat itu, katanya, beliau bersama sepasukan anggota segera menjalankan intipan dan berjaya menahan kedua-dua lori bersama pemandunya itu pada pukul 2.30 petang di Kuala Kangsar.

Hasil pemeriksaan, kata Salehuddin, kedua-dua pemandu yang berasal dari Changkat Jering, Taiping itu didapati telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 kerana membawa kayu tanpa dokumen daripada Jabatan Perhutanan.


Kompaun

Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, manakala lori boleh dikompaun RM10,000 sebuah. Menurut Salehuddin, ia merupakan tangkapan pertama membabitkan kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara dicatatkan oleh polis Marin setakat ini. Katanya, pihaknya sudah menghubungi pegawai renjer dari Jabatan Perhutanan Lumut dan Segari di sini untuk membantu siasatan.

Kesemua kayu yang dirampas itu diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk dinilai harganya dan dijadikan barang kes bagi perbicaraan di mahkamah nanti,'' katanya.


Tujuh warga Thai ditahan kerana ceroboh hutan simpan

Utusan Melayu 26/05/2005

KUALA LUMPUR 25 Mei
- Tujuh warga Thailand ditahan baru-baru ini kerana menceroboh kawasan hutan simpan Hulu Sungai Pelai, Taman Negara Kelantan.

Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Sazmi Miah berkata, mereka ditahan semasa Program Inventori dijalankan oleh Jabatan Perhilitan di taman-taman negara di seluruh negara. Katanya, kesemua yang ditahan itu dipercayai menceroboh kawasan tersebut bagi mendapatkan kayu pokok gaharu yang mempunyai nilai tinggi di pasaran Asia Barat.

Program inventori yang mendapat kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan universiti-universiti tempatan tersebut sebenarnya merupakan kajian dan penyelidikan terhadap hidupan liar, kayu kayan serta hasil bumi di taman negara.

Bagaimanapun, dalam ekspedisi yang bermula dari 24 April sehingga 5 Mei itu pihak kami telah berjaya menangkap penceroboh-penceroboh yang berniat mencuri hasil hutan di Taman Negara.

Dalam penangkapan tersebut, pihak kami juga berjaya merampas jerat, senjata serta beberapa bulu burung kuang daripada penceroboh ,'' katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar majlis prapelancaran Persidangan Sarang Burung Layang Asia di sini semalam.

Persidangan yang bertemakan Ke Arah Globalisasi, Penerokaan Pasaran Terbaru itu akan berlangsung dari 13 hingga 14 Ogos depan bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting, Genting Highlands.

Menurut Sazmi, sepanjang 1995 sehingga 2005, Jabatan Perhilitan merekodkan sejumlah 400 kesan pencerobohan membabitkan 81 tangkapan penceroboh warga asing.

Pihak kami akan giat menjalankan kempen kesedaran serta memberi hadiah insentif berjumlah RM500 kepada penduduk di sekitar hutan simpan yang menjadi ejen kepada Jabatan Perhilitan sehingga tertangkapnya penceroboh warga asing,'' katanya.